Sunday, June 10, 2007

Kembara timba ilmu kecantikan (Harian Metro)

MEWARISI kecantikan semula jadi secara turun-temurun sememangnya satu anugerah yang tidak terhingga. Namun, lazimnya masyarakat dalam sesebuah tamadun memiliki rahsia dan warisan amalan kecantikan tersendiri untuk mengekalkan wajah awet muda dan kekal menawan.

Merungkai rahsia kecantikan ini, program dokumentari 13 episod terbitan TV3, Beauty Secrets From The East (BSFTE) kembali menemui penonton untuk musim ketiga setiap Isnin, jam 7.30 malam, mulai 18 Jun ini.

Berinspirasikan kejayaan musim lalu, Secret Garden tampil sekali lagi menaja rancangan ini buat kali kedua. Jika musim pertama Maya Karin muncul sebagai pengacara dan Aishah Sinclair pada musim kedua, kali ini BSFTE menampilkan ‘orang dalam’ TV3 sendiri, Sasha Bashir sebagai pengacaranya.

Pemilihan Sasha sebagai pengacara kali ini kerana BSFTE mahu menampilkan kelainan dengan berkonsepkan ‘travelogue’ (catatan perjalanan) iaitu pengacaranya turut sama menjelajah ke tempat sumber dan mencuba sendiri jenis rawatan kecantikan yang dipaparkan. Jadi, pemilihan pengacara yang berpengalaman luas dan mampu berbicara spontan bersesuaian dengan konsep kali ini.

“Rancangan sebegini memang dekat dengan jiwa kerana saya jenis yang suka menjaga kecantikan sejak kecil lagi. Pelbagai pengalaman dan teknik baru saya peroleh sepanjang penggambaran ini berlangsung. Antara petua yang masih diamalkan sekarang ialah banyak minum air kosong setiap hari dan bersihkan segala solekan di badan sebelum tidur.

“Antara episod yang paling menarik bagi saya ialah sewaktu penggambaran rawatan kecantikan menggunakan beras di Langkawi dan Ayurveda di Bali yang juga memiliki pemandangan cantik.

“Selain mengacara, saya juga bertindak sebagai wartawan dan perlu alami sendiri teknik yang dipaparkan untuk diketengahkan kepada penonton.

“Saya banyak melakukan kajian sebelum sesuatu episod dijalankan bagi mendapatkan maklumat awal. Selain menyediakan skrip sebagai panduan, saya juga banyak beraksi secara spontan mengikut situasi,” katanya ketika ditemui di Sri Pentas, Bandar Utama.

Majlis pelancaran BSFTE musim ketiga ini disempurnakan Datin Seri Tiara Jacquelina. Hadir sama, Datin Mimi Hafizah, isteri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan; Pengurus Besar Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili TV3, Ahmad Kamaluddin Zaba’ai serta Pengarah The World Of Secret Garden Sdn Bhd, Mohammad Razin Mohammad Noor.

Menurut Ahmad Kamaluddin, BSFTE musim ketiga membawa kelainan kepada penonton dengan membawa titik perkembangan baru menerusi konsep ‘travelogue’. Musim baru ini menampilkan pengacara baru dan penonton dapat mengikuti pengembaraan bersamanya mencari rahsia kecantikan wanita di India, Bali, Thailand dan Malaysia.

“Serlahkan kecantikan bersumberkan rahsia alam, begitulah ungkapan yang sentiasa diberikan penekanan dalam program ini. Antara paparan menarik, amalan kecantikan dan kesihatan menggunakan intipati alam semula jadi seperti rempah ratus untuk mengeluarkan toksik dalam badan, menggunakan madu lebah untuk menghaluskan kulit dan berendam dalam kolam air panas untuk rawatan dalaman,” katanya.

Mohammad Razin pula berkata, musim baru BSFTE juga akan memperagakan kepada masyarakat Malaysia mengenai rahsia kecantikan pelbagai budaya.

“Dengan penampilan hos baru dan berkonsepkan ‘travelogue’, rancangan ini pasti lebih menarik dan inovatif. Konsep ini menampilkan hos lebih dekat dengan penonton dan kehadirannya di tempat yang dilawati memberikannya lebih banyak peluang untuk membongkar rahsia kecantikan di tempat berkenaan,” katanya.

Selain itu, penonton juga boelh melayari laman web www.tv3.com.my dan www.secretgarden.com.my untuk mengetahui kisah perjalanan penggambaran musim ini.

Oleh Mohd Nasif Badruddin

No comments: