Thursday, January 22, 2009

Harian Metro - January 22nd 2009




Pengembaraan cukup menarik itu turut dirakamkan dan bakal disiarkan sebanyak 13 episod menerusi rancangan khas Dansa yang akan menemui penonton bermula Sabtu, 24 Januari ini, jam 5 petang di TV3.

Berbicara mengenai program terbaru dikendalikan, jelas Sasha, idea untuk menerbitkan rancangan ini datang daripada dirinya yang sudah mempelajari balet sejak berusia empat tahun.

“Saya masih ingat sewaktu tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Seni Persembahan, di West Australian Academy of Performing Arts, Edith Cowan University, kakak pernah bertanya apa yang akan saya lakukan selepas itu?

“Dia bertanya ke mana saya mahu membawa ilmu yang diperoleh. Adakah selepas ini saya akan menjadi tenaga pengajar?

“Apabila menghasilkan rancangan Dansa, saya mula sedar bahawa saya belum puas belajar dan mendalami bidang dipelajari. Ternyata segulung ijazah diperoleh masih belum cukup kerana dalam dunia ini begitu banyak tarian yang ada antaranya saya tidak pernah dengar namanya.

“Atas rasa ingin tahu menyebabkan saya bersama penerbit Dansa, Mohd Fadli Mazlan menjalinkan kerjasama menghasilkan rancangan ini.

“Lagipun kami sudah selesa bekerjasama sewaktu mengendalikan Beauty Secret From The East,” katanya sewaktu ditemui, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai rancangan Dansa jelas Sasha, ia berkonsepkan pengembaraan di mana ia membabitkan 13 jenis tarian dan lokasi berbeza.“Dalam setiap episod, saya cuba menjejaki asal usul tarian tradisi, sesebuah negeri atau negara. Di sini seperti yang umum ketahui kebanyakan tarian tradisi masih lagi diamalkan di kawasan kampung dan pedalaman.

“Sebagai penolong penerbit Dansa saya sendiri melakukan kajian mengenai tarian yang diketengahkan dalam setiap episod.

“Selain daripada mengetahuinya menerusi pembacaan, ada maklumat diperoleh daripada penggiat seni tari sendiri. Pengalaman bertugas sebagai pengurus promosi di Istana Budaya turut memberi kelebihan dan memudahkan saya untuk menghasilkan dan mengacarakan program ini,” katanya.

Memastikan paparannya benar hidup dan menarik, kata Sasha, dia sendiri menjelajah ke ceruk kampung untuk bertemu dengan guru yang berpengalaman dan mengajar tarian terbabit.

“Biasanya latihan tarian di kawasan kampung ini dilakukan dalam suasana santai. Ia dibuat apabila penggiatnya habis sekolah atau selepas waktu berkerja. Seronok kerana ia dilakukan dalam gelak ketawa sambil sama-sama membantu untuk menjayakan latihan.

“Pengalaman seronok apabila saya ke Sabah untuk mempelajari tarian suku kaum di sana. Kebetulan waktu sama kumpulan terbabit sedang membuat latihan untuk majlis perkahwinan seorang penduduk kampung itu. “Kemeriahannya cukup terasa. Saya berasa sangat bertuah kerana dapat merasai situasi itu,” katanya

“Pengalaman seronok apabila saya ke Sabah untuk mempelajari tarian suku kaum di sana. Kebetulan waktu sama kumpulan terbabit sedang membuat latihan untuk majlis perkahwinan seorang penduduk kampung itu. “Kemeriahannya cukup terasa. Saya berasa sangat bertuah kerana dapat merasai situasi itu,” katanya.

Walaupun mempunyai pengalaman dalam bidang tarian, tetapi bagi Sasha cabaran harus dilalui dalam menjayakan rancangan ini juga besar kerana ada antara tarian tradisi yang ditampilkan dalam Dansa tidak pernah dipelajari dan namanya terlalu asing buatnya.

“Pengalaman saya dalam bidang tarian terhad iaitu lebih kepada balet dan kontemporari. Walau ada ilmu dalam tarian tradisi, tetapi persembahannya dibuat dalam bentuk moden atau fusion. “Saya boleh dianggap baru apabila mempelajari tarian tradisi ini. Perkara paling payah apabila saya harus membiasakan gerak tubuh dengan corak tarian yang nampak mudah, tetapi sebenarnya memerlukan kekuatan dalaman.

“Sepanjang rakaman rancangan ini barulah saya tahu mengenai tarian burung baniong dan tarian pelanduk. Selain itu turut diketengahkan seperti tarian ngajat, sumazau dan zapin dan ia kebanyakannya dikenali umum dan pernah disaksikan mereka.

“Saya sendiri pernah mendengar mengenai tarian ini, tetapi tidak pernah berpeluang untuk mempelajarinya. Mengacara rancangan ini membuka peluang kepada saya, namun ia tidak cukup kerana setiap episod rakaman dibuat dalam masa tiga hari.

“Ia terlalu singkat untuk saya, bagaimanapun diharapkan paparan berjaya dirakamkan dapat memberikan maklumat lengkap kepada penonton,” katanya.Bercerita lanjut mengenai cabaran harus dilalui Sasha, selain harus mengejar masa dia turut berhadapan dengan situasi di mana budaya sesuatu masyarakat ditemui amat berbeza.

Mengambil contoh sewaktu ke Jepun bagi mempelajari tarian geisha, dia harus membiasakan diri memakai kimono sepanjang masa.“Kimono yang saya pakai ada tiga lapis dan panasnya hanya Tuhan saja yang tahu kerana tubuh berbungkus sepanjang hari.

“Selain Jepun, produksi Dansa turut ke Thailand meninjau tarian tradisi di sana, Bali, Indonesia untuk mempelajari kecak dan Australia kami meninjau tarian tradisi masyarakat asli di sana.“Biasanya tarian tradisi amat berkait rapat dengan perkembangan budaya sesuatu masyarakat. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, tetapi saya puas kerana apa yang saya mimpi dan idamkan dapat dizahirkan dalam Dansa,” katanya.

Penonton rancangan ini berpeluang memenangi hadiah menarik berupa buku nota dan baju Dansa. Mereka perlu melayari laman web www.sashabashir.blogspot.com bermula Jumaat, 23 Januari untuk menjawab soalan dikemukakan dan jawapan perlu diemelkan kembali kepada laman web terbabit.

1 comment:

Angah said...

Helo,nice blog..erm i want to invite u to come to my new blog at http://sabtu-day.blogspot.com ..erm jgn lupe linkkan blog ni,ok thanks n bye